PARTI Warisan Sabah (Warisan) dijangka menghantar seorang lagi wakilnya ke Dewan Negara bagi mewakili suara rakyat Sabah.
Calon Warisan, Datuk Karim Bujang diramal mampu menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada Sabtu ini, menurut hasil kajian badan pemikir Ilham Centre.
Menurut ketua penyelidiknya Dr Muhd Yusri Ibrahim, hasil dapatan itu berdasarkan kajian yang dibuat membabitkan 491 responden terdiri daripada pengundi berdaftar di Parlimen Kimanis.
Karim Bujang yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.
“Kami jangkakan Warisan akan memenangi dengan keadaan yang agak selesa berbanding sebelum ini BN memenangi dengan 150 undi (pada Pilihan Raya Umum ke-14) lalu,” ujarnya.
faktor kemenangan parti Warisan tambah Ilham Center dipengaruhi tiga pemboleh ubah utama iaitu Warisan sebagai parti pemerintah, faktor pengikut sedia ada, dan sentimen pengundi yang lebih menyokong parti tempatan.
“Warisan itu adalah parti pemerintah yang kecenderungan pengundi untuk memberi undi kepada parti pemerintah adalah lebih tinggi berbanding parti BN sebagai pembangkang.
“Yang kedua adalah faktor pengikut-pengikut sedia ada daripada ADUN Membakut sendiri Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang keluar daripada BN masuk ke Bersatu. Jadi, mereka ada 6,500 pengundi yang asalnya menyokong Datuk Ariffin. Jadi, sebahagian besar itu mampu memberi undi kepada Warisan.
“Kemudian begitu juga pengundi Parti Harapan Sabah yang mempunyai 1,300 yang sebahagian besar juga akan memberi undi kepada Warisan.
“Kemudian sentimen pengundi di Kimanis ini lebih cenderung kepada lokal parti. Jadi, Warisan adalah parti tempatan di Sabah berbanding BN. Maka, kecenderungan pengundi kepada parti tempatan lebih tinggi berbanding parti yang dianggap sebagai parti Semenanjung,” jelasnya Muhd Yusri.
Jika ramalan Ilham Centre itu terbukti benar pada Sabtu ini, ia sekali gus meranapkan status kubu kuat yang dipegang parti Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu.
0 Comments