Ahli akademik dedah rahsia fenomena kerang bulu


TANGGAPAN bahawa fenomena kerang bulu terdampar di pesisir pantai Terengganu ada kaitan atau petanda akan berlaku bencana alam adalah tidak benar.

Bagi menjawab kekeliruan dikalangan orang awam, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Mazlan Abd Ghaffar baru-baru ini berkongsikan rahsia sebenar di sebalik fenomena tersebut.

Jelas Mazlan,  kejadian itu sebenarnya berkait rapat dengan faktor penurunan tahap kemasinan air di kawasan muara yang ketika ini disumbang peningkatan taburan hujan.

Selain faktor kemasinan air, hakisan juga jelasnya turut menyumbang kepada fenomena tersebut.

“Kerang bulu atau nama saintifiknya ‘anadara pilula’ adalah sejenis hidupan laut yang hidup di bawah lapisan mendapan (sedimen) di kawasan muara dan ia makan secara menapis.

“Pada musim tengkujuh, hujan lebat dan aliran air sungai yang laju akan menghakis sedimen menyebabkan kerang tersebut terdedah kepada arus seterusnya terdampar di pantai apabila ditolak ombak besar seperti yang berlaku di Rusila,” katanya dipetik.

Terdahulu, orang ramai mula turun mencari kerang jenis itu berikutan jumlahnya yang bertambah di kawasan pantai sekitar Rusila.

Selain pantai kawasan itu, kawasan yang turut dilapor menjadi tumpuan orang ramai ialah disekitar Pantai Rhu Dua, Pulau Kekabu dan Pantai Kelulut.

Tambah Mazlan fenomena kerang terdampar mungkin kelihatan luar biasa bagi masyarakat di Terengganu kerana tidak banyak populasi kerang dijumpai dikawasan berkenaan.

“Yang ada cuma spesies kerang bulu berbanding sebelah Pantai Barat yang mempunyai dua atau tiga spesies dan populasi kerangnya pula sangat banyak kerana keadaan sungai dan pantai yang berlumpur,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris memberi nasihat agar orang ramai berhati-hati.

Beliau turut memberi amaran supaya jangan mengambil risiko berenang ke kawasan yang terlalu dalam kerana keadaan ombak kuat selain musim tengkujuh.

"Kita tidak mahu tragedi lima tahun (2014) membabitkan empat remaja nyaris lemas selepas dihanyutkan ombak ketika mengutip kerang berulang kembali," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments