Covid-19: Pulau Pinang lulus pakej bantuan lagi


KERAJAAN Pulau Pinang meluluskan pakej bantuan kewangan ketiga berjumlah RM20 juta bagi menghadapi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Rabu lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pakej bantuan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Pulau Pinang yang diadakan pada hari sama.

Melalui satu kenyataan, Kon Yew menjelaskan bahawa pakej kewangan itu bagi meringankan beban kumpulan sasaran yang terkesan pelaksanaan semula PKP di negeri itu.

"Tahun lalu, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM151 juta kepada individu, perniagaan dan organisasi yang terjejas," katanya.

Sementara itu, beliau berharap  semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan lengkuk kes Covid-19 di negeri berkenaan dapat dilandaikan.

"Kita harus sedar bahawa mengikut statistik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, hingga semalam (Rabu), dari jumlah terkumpul 5,479 kes, 3,246 (59 peratus) adalah warganegara sementara 2,233 (41 peratus) bukan warganegara.

"Jelas bahawa virus ini ada di mana-mana, dan sesiapa saja, sama ada tempatan atau asing boleh dijangkiti. Oleh itu, kita tidak boleh leka dan sentiasa perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya," katanya.

 Keseluruhan peruntukan diluluskan RM151 Juta


Sebagai rekod, sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 berjumlah RM76 juta bagi memperkukuh ekonomi negeri selepas pelaksanaan PKP.


Pengumuman itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi insentif bantuan Covid-19 yang diluluskan Kerajaan Pulau Pinang pada tahun lalu berjumlah RM151 juta.

Post a Comment

0 Comments