PENDUDUK Sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur semalam gempar dengan penemuan mayar lelaki dipercayai maut akibat terjatuh dari tingkat blok kediaman mereka.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, orang awam menghubungi pihaknya berhubung penemuan mayat di sebuah flat di Lembah Pantai itu kira-kira jam 5.52 petang.
“Berdasarkan maklumat awal, ada orang awam memaklumkan seseorang terjun dari tingkat atas blok flat berkenaan sebelum seorang lelaki ditemui tertiarap dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Sebaik tiba, sepasukan polis dan pegawai perubatan mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Zairulnizam berkata, siasatan juga mendapati lelaki berusia 29 tahun dan dia menetap bersama keluarga di flat berkenaan.
Pemeriksaan pihak polis di lokasi kejadian juga jelasnya tidak menemui sebarang unsur jenayah.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi menentukan sebab kematian.
“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 0322979222 untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
0 Comments