Penduduk Long Semiyang terputus hubungan


PENDUDUK di sebuah penempatan di kawasan pendalaman Sarawak terputus hubungan apabila sebahagian jalan ke Long Semiyang runtuh.

Pengerusi protem Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Danny Lawai Kajan memberitahu, tanah runtuh itu yang berlaku pada jarak lebih 1 kilometer dari penempatan penduduk dipercayai berlaku susulan hujan lebat yang berterusan sejak tiga hari lalu.

Ia dipercayai runtuh pada waktu malam dan hanya disedari penduduk pada Selasa lalu.

Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

"Lebih 30 meter jalan telah runtuh dalam kejadian ini," jelas Danny dipetik laporan Borneo Post.

Beliau berharap kerosakan jalan raya dapat diatasi segera kerana laluan merupakan penghubung utama penduduk.

Difahamkan, terdapat rumah panjang 60 pintu didiami kira-kira 700 penduduk di kawasan berkenaan, yang terletak lapan jam perjalanan darat dari bandaraya Miri.