K'jaan ambil langkah pastikan harga barang stabil


SKIM
Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 Jan sehingga 2 Feb ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berbanding sebelum ini, kerajaan memutuskan tempoh pelaksanaan ditambah empat hari berbanding 10 hari tahun lepas.

Beliau berkata 16 jenis barangan akan terlibat pada SHMMP Tahun Baru Cina 2020 berbanding 13 jenis sebelum ini, penambahan tiga jenis barangan membabitkan cili merah, tomato dan ubi kentang import dari China.

Barangan lain yang dikawal harga antaranya ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging khinzir.

"Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina, oleh itu kawalan harga adalah bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selain memastikan harga barangan sentiasa berada dalam keadaan stabil, SHMMP dilaksana bagi tujuan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dari permintaan tinggi barangan terbabit ketika musim perayaan.

SHMMP dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan.