INSIDEN kematian seorang lelaki di dalam sebuah bas pelancong di pusat pemeriksaan pasport di Tanjung Kupang dekat Gelang Patah yang tular baru-baru ini tiada kaitan dengan penularan wabak koronavirus.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 78 tahun itu bukan warganegara China seperti didakwa, sebaliknya seorang warganegara Singapura yang telah disahkan meninggal akibat serangan jantung.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lelaki itu bersama isterinya yang berumur 68 tahun sedang dalam perjalanan dari Singapura, menuju ke Genting Highland untuk melancong.
"Semasa bas berhenti di pusat pemeriksaan pasport, lelaki itu tiba-tiba mengadu sakit dada dan berasa kurang selesa kepada isterinya yang duduk bersebelahan di bahagian tempat duduk hadapan bas," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, polis menerima panggilan daripada pegawai imigresen Kompleks Sultan Abu Bakar, kira-kira 7.05 pagi Sabtu, memaklumkan seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalam bas pelancong yang berhenti di hadapan kaunter imigresen, untuk pemeriksaan pasport.
Dzulkhairi berkata, mangsa disahkan mempunyai rekod perubatan sakit jantung dan rawatan yang dijalankan di Singapura.
Sementara itu tegas Dzulkhairi, warganet digesa bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mencipta dan menularkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan rasa tidak senang dikalangan masyarakat.
"orang awam dinasihati agar berhati-hati dalam menyebarkan berita yang belum dipastikan kebenarannya.
"Berikutan penularan kejadian ini di laman sosial, polis telah membuat siasatan terhadap individu yang menyebarkan berita palsu ini di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan,” katanya.
0 Comments