DUN Johor tergantung jika bekas MB kembali ke HARAPAN


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan bekas Menteri Besar Johor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada mengadakan pertemuan bersama pemimpin HARAPAN baru-baru ini.

Tanpa memberi penjelasan lanjut berhubung pertemuan itu, Aminolhuda berkata, pertemuan itu antara Datuk Osman Sapian dengan seorang pemimpin AMANAH.

"Apa butiran pertemuan, saya tidak boleh komen. Bagaimanapun, saya boleh maklumkan ia berlaku baru-baru ini dengan seorang pemimpin AMANAH.

"Pemimpin AMANAH dan Osman adalah duduk berbincang sikit," katanya dipetik laporan media.

Sebelum ini tular video Osman yang berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Dalam video itu, Osman mendakwa parti Bersatu menyeleweng daripada perjuangan asalnya. Ketua Bahagian Bersatu Pulai, Ya'cob Atan dipetik laporan Berita Harian berkata, pihaknya mahu mengemuka aduan rasmi berkenaan berhubung tindakan Osman kepada Parti.

"Tindakan Osman berkempen dan menyatakan sokongan kepada calon Bebas pada PRK Slim  menunjukkan penentangan terhadap parti.

"Kami akan menghantar aduan rasmi. Mengikut Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU, tindakan penentangan terhadap parti boleh menyebabkan keahlian mereka (terhenti) serta-merta seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli BERSATU lain," katanya selepas melancarkan Konvoi Semarak Kemerdekaan di Johor Bahru semalam.

Sementara itu,  Aminolhuda berkata, jika Osman memilih untuk bersama HARAPAN, jumlah kerusi dalam sidang DUN akan tergantung.

"Ia akan menyebabkan jumlah kerusi diperoleh HARAPAN dengan Perikatan Nasional (PN) terikat kepada 28 kerusi.

"Oleh itu, kami mempelawa beberapa ADUN PN yang sebelum ini bersama PH untuk kembali bersama kami (PH) untuk mengekalkan mandat rakyat ketika pilihan raya umum (PRU) lalu," katanya.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan agihan terkininya ialah UMNO dan DAP masing-masing 14; BERSATU (12); MIC (dua); PAS (satu); AMANAH (9) dan PKR (empat). Majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Post a Comment

0 Comments