BMW M3 Paul Walker dilelong pada harga RM1.6 juta


SEBUAH kereta jenis BMW milik bintang filem Fast and Furious, Paul Walker berjaya dibida pada harga kira-kira RM1.6 juta (AS$385,000)

Kereta model BMW M3 Lightweight keluaran 1995 itu sebahagian dari 21 kereta milik bintang filem itu yang dilelong dilelong dalam satu acara lelongan tahunan di Arizona baru-baru ini.

Model BMW tersebut menjadi perhatian ramai bukan sahaja kerana ia milik Paul Walker, namun kerana model berkenaan sendiri adalah satu daripada 126 unit yang dihasilkan BMW dalam segmen badan ringan.

Jurucakap syarikat insurans, Jonathan Klinger berkata, peserta lelongan itu membayar harga yang tinggi untuk koleksi Walker.

“Kebiasaannya kereta milik selebriti tidak dibida terlalu tinggi, namun disebabkan Walker juga peminat kereta, ia menjadikan nilai kenderaan ini lebih tinggi dan perlu dimiliki,” katanya dipetik.

Selain BMW itu, beberapa kenderaan lain milik Walker yang dilelong adalah Nissan 370Z keluaran 2009 yang turut ‘membintangi’ filem Fast Five dibida pada harga AS$105,600 (RM423,000).

Kereta berprestasi tinggi model Ford Boss 302S keluaran tahun 2013 yang tidak pernah dibawa berlumba pula dibida pada harga AS$95,700 (RM388,000).

Secara keseluruhan sebanyak RM9.4 juta (AS$2.3 juta) berjaya diperolehi dalam lelongan itu, semua hasil lelongan pula akan disalurkan ke tabung amanah anak Walker, Meadow.

Mendiang Walker terbunuh dalam kemalangan apabila Porsche Carrera GT yang dipandu rakannya Roger Rodas terbabas melanggar pokok dan terbakar di Santa Clarita, California pada Disember 2013.

Walker ketika itu sedang menjalani penggambaran Furious 7, filem ketujuh francais Fast & Furious yang berjaya meraih $1.5 bilion (RM5.9 bilion).

Post a Comment

0 Comments