TIADA sebarang bukti kukuh menunjukkan tindakan pengisytiharan harta dapat membahayakan keselamatan anggota parlimen, tegas Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof.
Mohamad Ariff berkata begitu bagi menjawab kebimbangan dikemukakan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Edmund Santhara mengenai keselamatan diri dan ahli keluarga sekiranya kekayaan dirinya didedahkan kepada umum.
Bercakap pada majlis Makan Malam Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan media malam tadi, Ariff menegaskan pengisytiharan harta adalah amalan penting untuk memastikan kebertanggungjawaban seseorang ahli politik.
"Dengan hormatnya kepada YB Santhara, tidak ada bukti kukuh, tidak kira di Malaysia atau di mana sahaja."
"Ini mengenai ketelusan dan menjauhkan diri daripada rasuah. Jika kamu lihat seseorang memperoleh jumlah ringgit tertentu, tetapi tiba-tiba menjadi sangat sangat kaya apabila dia menjadi anggota parlimen, mesti ada justifikasi untuk itu," katanya kepada pemberita.
Santhara dalam satu temubual bersama satu portal berita baru-baru ini menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan dirinya dan keluarga berhubung pengisytiharan harta yang diwajibkan Pakatan Harapan (HARAPAN) kepada Ahli Parlimen yang mewakili gabungan itu.
Bagaimanapun Santhara menegaskan pengisytiharan harta mesti diteruskan, tetapi dengan beberapa pengubahsuaian.
Beliau mencadangkan anggota parlimen terus mengisytiharkan harta mereka kepada kerajaan dan SPRM, tetapi hanya sebahagian maklumat - aset tambahan dari hari mereka dipilih sebagai wakil rakyat- harus didedahkan kepada umum.
Sementara itu, Ariff berkata SPRM tidak menyiarkan setiap butiran harta yang diisytiharkan oleh anggota parlimen tetapi hanya jumlah keseluruhan.
0 Comments