Isu air: Bekas menteri marah, Peguam saran saman


BEKAS Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar menzahirkan rasa marah atas peristiwa pencemaran sumber air yang sering berulang.

Menerusi ciapan Twitternya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu meminta pihak berkuasa mengambil tindakan wajar ke atas kilang berkenaan seperti membatalkan lesen, merampas tanah, menyita premis terbabit.

Xavier turut mendesak agar tindakan menyenarai-hitamkan pengarah syarikat itu turut dikenakan.

“Gangguan bekalan air akibat dari pencemaran mesti dihentikan di Selangor,” tegasnya.

Dr. Xavier mengulas mengenai masalah bekalan air di negeri ini semalam, menyebabkan kira-kira 1.2 juta pemegang akaun Air Selangor terputus bekalan akibat kecuaian kilang selenggara jentera di Rawang itu.

Sementara itu, seorang peguam berkata orang ramai boleh menyaman syarikat yang bertanggungjawab ke atas pencemaran air sehingga menyebabkan gangguan air itu.

Derek Fernandez, seorang pakar kerajaan tempatan dan undang-undang alam sekitar, berkata ini antara caranya orang ramai yang terjejas boleh menuntut ganti rugi atas kesulitan akibat gangguan tidak berjadual susulan penutupan 4 loji rawatan air.

Beliau senaraikan beberapa undang-undang yang boleh digunakan dan dilaksanakan segera terhadap pecemar bagi mencegah orang lain melakukan kesalahan sama.

Antaranya Seksyen 121 Akta Perkhidmatan Air yang memperuntukkan hukuman denda RM500,000 atau penjara 10 tahun atau sebatan rotan atau ketiga-tiganya bagi kesalahan mencemar bekalan air.

“Ratusan perniagaan yang menderita kerana Covid-19 kini berdepan kerugian kerana gangguan bekalan air selama beberapa hari. Maka tidak memadai, tidak wajar, dan menyimpang dari kebiasaan sekiranya pelaku kesalahan itu dikenakan denda yang tidak seberapa,” katanya.

Post a Comment

0 Comments