SEORANG penyelam meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin.
Bernama dalam laporannya berkata, Mohd Fahami Abd Samad yang merupakan Kadi Johor Bahru dipercayai mula melakukan aktiviti selaman sekitar tengah hari semalam sebelum ditemui lemas.
"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Tekek, Pulau Tioman pada 1.57 tengah hari yang turut memaklumkan perkara itu kepada anggota polis di pulau tersebut.
"Pemeriksaan awal terhadap jenazah mangsa mendapati tiada kecederaan atau luka terbuka pada tubuhnya. Jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian," kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon.
Difahamkan, Mohd Fahami, 45, merupakan antara penyelam yang terlibat dalam Program Melarutkan Abu al-Quran ke laut yang berlangsung di Pulau Tinggi, Mersing, Johor pada 26 Ogos lepas.
Sementara itu kata Azari, pihaknya sudah merakam percakapan saksi, pegawai perubatan dan jurulatih menyelam bagi membantu siasatan.
Sementara itu di Johor Bahru, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi (gambar, bawah) menyifatkan pemergian Mohd Fahami sebagai satu kehilangan besar buat warga Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Ia kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang yang mudah didampingi warga JAINJ dan disenangi masyarakat.
“Arwah amat disenangi masyarakat ketika menjadi kadi di daerah Kulai lagi," kata dipetik laporan itu.
Jenazah dijadualkan disolatkan di Masjid Mutiara Rini di Johor Bahru hari ini, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah Mount Austin untuk dikebumikan.
0 Comments