PROTON Holdings Bhd (PROTON) dilapor akan membina membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Karachi, Pakistan tidak lama lagi.
Difahamkan, kilang yang terletak di tapak Greenfield, Karachi itu sedang giat dibangunkan melalui pelaburan awal sebanyak AS$30 juta (RM124.29 juta) dengan aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada 2021.
Fasiliti terbabit akan dimiliki dan dikendalikan oleh ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi Proton di Pakistan.
Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON, Khalid Yusof dipetik berkata, kilang itu akan memasang beberapa model Proton dan ia mampu mencipta 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun operasinya serta anggaran lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung selepas ia siap dibina kelak.
Menurutnya, pembinaan kilang itu juga membantu syarikat dalam mencapai matlamat jangka panjang untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.
“Kami harap pembinaan kilang CKD dengan kerjasama ALHAJ Automotive itu membolehkan kami mendapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan di Pakistan,” katanya dalam kenyataan pada majlis penyerahan rasmi Proton X70 kepada kerajaan Pakistan di Islamabad, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi ALHAJ Automotive, Alhaj Shah Jee Gul Afridi berkata, pihaknya akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual kereta-kereta Proton secepat mungkin sementara membangunkan cawangan jualan, servis, alat ganti dan ketuk serta cat (3S/4S) di negara itu.
“Kami akan menghantar unit model import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia sebagai permulaan operasi di sini sebelum memasarkan unit CKD sebaik saja kilang itu mula beroperasi," katanya.
0 Comments