K'jaan didesak batalkan notis ambil alih tanah di Kampung Baru


KERAJAAN
Persekutuan didesak supaya segera membatalkan notis pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selepas penduduk diarah pemaju untuk mengosongkan rumah mereka dengan pampasan rendah.

Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli melalui satu kenyataan berkata, pengusiran penduduk secara tergesa-gesa itu adalah satu penganiayaan serta penindasan terutama kepada penduduk dan pemilik tanah bergeran yang telah menetap di kawasan tersebut sejak lebih 40 tahun lalu.

“Tambahan pula, ‘pengusiran’ dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah ini dibuat dalam keadaan pandemik yang masih belum reda dan kehidupan rakyat yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi terutama untuk warga kota.

“Jumlah pampasan yang ditawarkan pula adalah sangat tidak munasabah iaitu sekitar RM400 kaki per segi sahaja dan jauh dari harga pasaran semasa” katanya.

Malaysia Dateline dalam laporannya siang tadi menyatakan penduduk terkejut apabila mereka dipaksa berpindah oleh pihak pemaju keluar dari flat dan rumah mereka.

Kerajaan lapor portal itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil tanah penduduk Kampung Bharu untuk dimajukan dengan pampasan hanya RM400 sekaki persegi berbanding tawaran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini iaitu pada kadar RM1,000 sekaki persegi.

Ketika negara ditadbir HARAPAN,  Ketua Pembangkang ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.

Sebaliknya apa yang dinyatakan Ismail itu berlaku.

Seorang penduduk, Nadia Liyana Alipah mendakwa pengusiran penduduk bermula pada Julai lalu apabila penduduk di Kampung Sungai Baru, menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan. Ia berjaya diperolehi oleh pemaju yang memohon melalui Pejabat Tanah setelah penduduk tidak melayan permohonan pemaju sebelum itu.

Sementara itu tambah Mohd Hatta , pampasan yang diberikan adalah rendah walhal Menteri Wilayah Persekutuan, (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) dan perdana menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sendiri pernah menyatakan bahawa tanah di Kampung Baru hendaklah dinilai sebanyak RM3000 kaki persegi atau mengikut harga pasaran hartanah semasa.

Namun begitu katanya, seruan tersebut tidak kedengaran dalam kes di Kampung Sungai Baru ini.

Cari penyelesaiaan memihak kepada penduduk
“Justeru itu, AMANAH WP menggesa supaya kerajaan membatalkan segera notis pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik yang memihak kepada penduduk dan pemilik tanah di situ.

“Kerajaan juga perlu telus dan menjelaskan apakah tujuan sebenar pengambilan tanah itu dibuat, apakah benar untuk ‘public purpose’ ataupun untuk tujuan-tujuan komersial yang hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja seperti yang diuar-uarkan,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments