Berkajang alasan, 'kona baring' PN hanya dedah kelemahan


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) digesa supaya berhenti bersikap apologetik dan mengakui teguran Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti kegagalan Putrajaya memerangi wabak Covid-19.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN), Shazni Munir yang dipetik laporan FMT berkata, pelbagai alasan yang diberikan bagi menagguhkan lagi sidang Parlimen hanya akan mendedahkan lagi kelemahan kerajaan pimpinan Mahiaddin Md Yasin itu.

Lebih buruk tambahnya, ia juga akan menyebabkan ramai rakyat menjadi mangsa.

“Lagi banyak pusing dan ‘konar baring’, lagi jelas nampak kamu salah,” katanya dipetik.

Shazni sebelumnya mengulas kenyataan ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin yang mendakwa titah Agong berhubung keutamaan yang harus diberikan kepada nyawa dan kehidupan rakyat adalah selari dengan iltizam kerajaan PN.

Khairil mengaitkan titah itu dengan pengumuman Pelan Pemulihan Negara yang membuktikan satu gerak kerja inklusif dan ditambah baik dalam usaha strategi keluar negara daripada wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun Pelan Pemulihan diumumkan Mahiaddin Yassin pada Selasa, sehari sebelum Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas berhubung situasi semasa dalam negara dikritik hebat,

Ia kerana pelan diumumkan itu tidak mempunyai strategi jelas membawa negara keluar dari pendemik Covid-19 selain dianggap sebagai hanyalah retorik untuk menutup kegagalan kerajaan dalam mengawal pendemik tersebut.

Sementara itu tambah Shazni, pihaknya tidak melihat titah Agong itu selari dengan iltizam kerajaan hanya dengan bersandarkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan sehari sebelum titah diraja.

“Saranan beliau (Khairil Nizam) bahawa kerajaan perlu memberikan banyak bantuan kepada rakyat itu sendiri jelas menunjukkan bahawa teguran Agong kepada kerajaan pimpinan Mahiaddin  sangat berasas.

“Berkajang hujah diberikan untuk melaksanakan moratorium kepada M40, apa yang kerajaan telah buat? Bantuan tunai kepada peniaga kecil yang terjejas, sudah masuk fasa 2 PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0 pun, ada kerajaan kisah?

Kerajaan PN disifatkan telah gagal
“Itu tak termasuk lagi ratusan ribu penganggur yang kereta akan ditarik dan rumah bakal dilelong, adakah sebarang langkah berkesan daripada kerajaan?” soalnya.

“Hakikatnya kerajaan memang telah gagal menangani wabak ini sungguh pun negara dalam keadaan darurat,” kata Shazni.


 

Post a Comment

0 Comments