SEORANG lelaki warga Mesir mencetuskan suasana panik di sebuah pangsapuri di Puchong malam tadi apabila mengugut untuk terjun dari tingkat 8.
Bagaimanapun, tindakan pantas sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan lelaki berusia 37 tahun itu daripada cubaan membunuh diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 9.17 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong tiba di lokasi 9 minit kemudian.
"Laporan awal memaklumkan seorang lelaki cuba terjun dari tingkat lapan pangsapuri berkenaan.
"Hasil pujukan anggota bomba hampir 10 minit, mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dipetik laporan Sinar.
Sementara itu, tindakan lelaki itu menjadi perhatian ramai, saksi memberitahu lelaki tersebut turut menjerit-jerit di luar beranda sebelum diselamatkan.
Punca lelaki itu cuba terjun masih dalam siasatan dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
0 Comments