RAKYAT dinegara ini bakal mendapat manfaat dari jualan murah susulan keputusan kerajaan membenarkan ia diadakan bila-bila masa bermula tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peniaga turut tidak lagi terikat kepada had untuk mengadakan jualan murah hanya empat kali setahun seperti sebelum ini.
tambahnya, Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 Nov lepas itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.
"Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.
"Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah releven sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing," katanya di Seberang Jaya, semalan.
Saifuddin Nasution berkata kuota penganjuran jualan murah sebelum ini, dilihat menjadi satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini.
"Pindaan ini juga sebagai rangsangan kepada industri peruncitan untuk berkembang, seiring dengan kemajuan ketika ini," katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata aspek perlindungan hak-hak pengguna tidak diabaikan dengan mengekalkan kawalan sedia ada bagi melindungi pengguna, selain KPDNHEP akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap jualan murah, bagi mengelakkan peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan mereka.
0 Comments