Letak calon profesional, KEADILAN serius nak tadbir negara



PARTI KEADILAN RAKYAT
(KEADILAN) mengambil langkah terkedepan apabila mengumumkan tujuh calon bukan aktivis parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tujuh calon itu terdiri daripada tokoh dalam pelbagai bidang disiplin dan pengalaman yang diyakini mampu memberi impak kepada usaha reformasi yang dibawakan parti itu.  

Mengulas lanjur keputusan itu, Anwar berkata cabaran  mengurus negara yang semakin rumit memerlukan kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang.

Pengundi pula tidak lagi menilai parti semata-mata tetapi menitikberatkan juga ketrampilan calon dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.

"Kita ada 222 Parlimen, berpuluh-puluh lagi kawasan negeri, jadi saya fikir tidak munasabah untuk dipertikai, tokoh yang istimewa dari segi idea mereka, kepakaran, pengalaman, komitmen mereka untuk ditampilkan, ini jelas.

"Kita bukan sahaja pertahankan aktivis parti tetapi memberi ruang kepada yang lain untuk memberi sumbangan kepada rakyat dan negara.

"Semua calon yang saya umum hari ini adalah untuk kuota KEADILAN," katanya sambil menegaskan tindakan itu bagi menunjukkan betapa parti itu serius dalam menampilkan calon-calon berwibawa.

Antara calon diumumkan adalah bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang juga anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz, yang akan bertanding di Perak.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Zainal Azman Abu Seman, yang akan bertanding di Perak

Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga tokoh profesional kelainan upaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan.

Bekas Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan yang akan bertanding di Pahang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan Yusop yang akan bertanding di Selangor.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha yang akan bertanding di Negeri Sembilan dan calon muda berusia 28 tahun yang juga doktor falsafah di Universiti Malaya, Fathin Amelina Fazlie yang akan bertanding di Perlis.

KEADILAN beri ruang profesional wakili rakyat
Anwar berkata, kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi calon-calon itu akan umumkan pada Jumaat ini.

"Terdapat ramai lagi calon yang akan diumumkan nanti, cuma hari ini kita tonjolkan sebahagian calon utama oleh kerana kesuntukan masa, kita umumkan sekali pada 28 Oktober ini," ujarnya.


Post a Comment

0 Comments