Oleh DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL | Tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu #ChooseToChallenge atau #BangkitMendepaniCabaran melambangkan landskap global semasa.
Wanita masih menghadapi cabaran ketidakadilan gender, satu isu lama yang masih belum diselesaikan, dan pada masa yang sama mereka juga terpaksa menghadapi cabaran norma baharu berkaitan peranan lazim mereka.
Bagi kebanyakan ibu bekerja, bertugas dari rumah disebabkan oleh wabak Covid-19 bermakna mengimbangi kerjaya, mengambil tahu hal suami yang bekerja dari rumah dan menjaga kanak-kanak yang belajar juga dari rumah.
Suri rumah mestilah menyesuaikan diri dengan perubahan ini dengan maju bersama teknologi bagi membantu dan memantau anak-anak mereka.
Wanita mencabar norma biasa demi membawa perubahan untuk yang lebih baik.
Wanita juga merupakan petugas barisan hadapan.
Norma baru ini juga telah memaksa mereka menghadapi cabaran kehidupan keluarga dan kerja bila mana wabak ini telah memisahkan mereka daripada yang tersayang.
Ada juga wanita yang telah terkorban dalam memerangi wabak ini.
Dalam kita meraikan wanita dan menghargai kejayaan mereka, jangan pula kita lupa meningkatkan kesedaran mengenai ketidakadilan yang berlaku terutamanya terhadap wanita.
Ini termasuklah penderaan domestik pada saat norma baru boleh menyebabkan kekecewaan, putus asa dan juga serangan terhadap kesihatan mental.
Malaysia juga mestilah komited ke arah menggubal undang-undang yang mempertahankan wanita – undang-undang yang telah digubal dan dibincangkan tetapi masih belum dibawa ke parlimen untuk diluluskan, apa lagi untuk diamalkan.
Marilah kita berjuang untuk wanita, yang juga merupakan sama ada ibu, isteri, kakak atau adik perempuan, anak perempuan mahupun sahabat kita.
![]() |
Dr Wan Azizah ajak bawa perubahan |
Selamat Hari Wanita Sedunia.
#ChooseToChallenge
Wanita Bangkit Mendepani Cabaran
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL Ialah bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat yang kini Pengerusi Majlis Penasihat parti KEADILAN.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.