PM layak lantik penasihat yang paling boleh dipercayai


WALAUPUN
dihujani kritikan dari pembangkang, namun tiga pemimpin Wanita KEADILAN menyokong pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat khas ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata negara akan rugi jika tidak memanfaatkan kepimpinan pemimpin muda seperti Nurul Izzah.

"Wanita KEADILAN menyambut lantikan Nurul Izzah, saban generasi terpaksa menanggung beban berikutan ketandusan bakat untuk berkhidmat demi negara.

"Kami yakin dan percaya dengan kepemimpinan Naib Presiden KEADILAN itu dalam menggalas amanah ini,' katanya.

Fadhlina juga menegaskan Nurul Izzah bukan sahaja memiliki merit sebagai pembuat dasar selama tiga penggal di Dewan Rakyat.

Sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini, Nurul Izzah tegasnya telah membuktikan beliau berjaya memastikan setiap sudut khazanah dan dana awam memberi manfaat buat rakyat.

"Selain itu Nurul Izzah turut berjaya melakukan anjakan paradigma kepada perspektif ekonomi pasca pandemik dalam penyediaan laporan Kajian Kemiskinan Multidimensi," kata Menteri Pelajaran itu.

Media melaporkan Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, yang juga bapanya

Pelantikan Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun atau gaji.

Sementara itu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Melaka untuk Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin turut sependapat dengan pandangan Fadzlina.

Malah beliau menegaskan tiada siapa boleh menyangkal Nurul Izzah sememangnya tokoh muda berpengalaman dan berintelektual.

"Walaupun Nurul Izzah merupakan anak kepada Perdana Menteri dan Presiden KEADILAN, ianya tidak mengubah hakikat bahawa Nurul Izzah mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri serta pengorbanan dalam perjuangan politik Reformasi.

"Beliau pernah memimpin beberapa 'think tank' dan badan penyelidikan dalam negara serta mewakili negara ke persidangan antarabangsa.

"Keberanian dan kesungguhan yang ditampilkan oleh Nurul Izzah berjaya menggalakkan ramai wanita untuk kedepan dalam politik dan kepimpinan organisasi," kata Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah itu.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong pula berpandangan bahawa Perdana Menteri selayaknya mendapat pasukan penasihat paling dipercayainya untuk membantu dan menasihati beliau dalam hal-hal yang berkepentingan negara terutama dalam suasana politik yang sentiasa ada muslihat sabotaj dan pengkhianatan.
 
Dalam apa jua keadaan lain juga tegasnya, Nurul Izzah akan dilihat sebagai aset yang dialu-alukan kepada mana-mana Kerajaan atau institusi.

"Jadi, mengapa kita perlu menghalang peluang beliau untuk berkhidmat kepada Perdana Menteri?

"Tahun demi tahun, dasar ekonomi dan kewangan konvensional sebenarnya telah menyebabkan semakin ramai keluarga hidup dalam kemiskinan. Mengapa kita perlu ulangi lagi dasar-dasar yang sama?

Kebolehan Nurul Izzah tak boleh dinafikan
"Beliau sebenarnya telah memulakan pelbagai rundingan dan perbincangan dengan pemain-pemain dari sektor-sektor utama demi meningkatkan keyakinan dan produktiviti ekonomi negara," kata beliau sambil meminta Nurul Izzah mengabaikan kritikan yang dilontarkan terhadapnya.

"Yang lebih penting ialah fokus untuk membuat yang terbaik untuk negara," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments