Kementerian beri perhatian serius insiden jeti roboh


 


KEMENTERIAN
Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian serius insiden jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna membabitkan pelajar sekolah pada Isnin.


KPM dalam satu kenyataan berkata, bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat telah disediakan, manakala pihak kementerian melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna telah mengambil langkah bagi menyiasat punca kejadian.

“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.

“KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang,” menurut kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook Menterinya, Fadhlina Sidek itu.

Dua pelajar dilapor cedera
Dalam insiden pagi semalam, kira-kira 25 orang termasuk, murid tabika KEMAS, dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag dan ibu bapa pelajar terjatuh ke dalam laut selepas jeti di Pulau berkenaan roboh.

Berdasarkan laporan awal mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.

Dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah dilapor telah meluluskan peruntukan segera bagi membina semula jeti tersebut. 



 


Post a Comment

0 Comments