PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan supaya proses keluar masuk pekerja Malaysia dan Singapura di Tambak Johor dipermudahkan.
Perkara itu diumumkan Anwar ketika berucap di Majlis Diaspora Malaysia di Singapura pada Isnin.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu, masalah kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) sudah berlarutan sekian lama tanpa sebarangan jalan penyelesaian yang konkrit.
Justeru beliau telah memberi arahan segera agar pegawai bertugas dan lorong Imigresen di BSI pada awal pagi ditambah bagi menjimatkan masa perjalanan pekerja kedua-dua negara.
“Setiap hari ramai pekerja yang bekerja di Singapura terpaksa bangun seawal jam 4 pagi dan berdepan keadaan trafik yang panjang.
“Apa yang boleh kita lakukan, contohnya membuka lebih banyak lorong, kaunter untuk pegawai kastam dan imigresen, untuk mempercepatkannya (proses keluar masuk pekerja Malaysia-Singapura).
“Kalau kita ada 15 (pegawai kastam) sekarang, adakan 30. Saya beri arahan segera, lakukan,” katanya.
Anwar turut memaklumkan keputusan itu sudah dipersetujui kedua-dua kerajaan bagi memudahkan urusan rakyat dari Malaysia dan Singapura.
“Perbincangan saya dengan Perdana Menteri Lee Hsien Leong, beliau menyokong.
“Beliau berkata okay Anwar, tambah lebih ramai pegawai di sana (Johor Bahru), kami akan ambil tindakan yang sama dan lakukannya dengan cepat supaya ia akan lebih mudah untuk rakyat Singapura,” katanya.
Ratusan ribu rakyat Malaysia dan Singapura dianggarkan menggunakan sempadan Malaysia-Singapura pada waktu puncak setiap hari.
Sebahagian besar mereka yang merupakan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura perlu berhadapan dengan kesesakan terutamanya ketika waktu puncak setiap hari berpunca akibat kekurangan jumlah anggota Kastam dan Imigresen yang tidak mampu menampung jumlah kemasukan dan keluar pengguna harian.
Beri manfaat untuk rakyat yang bekerja di Singapura |
Lebih penting jelasnya, ia akan memberikan kesan yang positif terhadap kehidupan pengguna harian.
0 Comments