Suhakam digesa siasat gangguan terhadap aktivis


KUMPULAN
hak asasi, Suaram hari ini mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat laporan berhubung gangguan polis terhadap aktivis dan anggota pembangkang.

Pengurus program Suaram, Dobby Chew dipetik laporan media berkata, beberapa bulan lepas menyaksikan beberapa orang yang disasarkan melalui siasatan di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Dobby Chew
Situasi itu menurutnya telah menggambarkan hak kebebasan bersuara dan berkumpul menjadi semakin buruk di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Chew, sebanyak 41 siasatan dibuat antara Mac hingga awal Julai tahun ini, iaitu 7 di bawah Akta Hasutan, 9 di bawah CMA, 15 di bawah Akta Perhimpunan Aman dan 10 di bawah undang-undang lain.

“Perkara 10 perlembagaan persekutuan menjamin hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

“Amat membimbangkan untuk menyaksikan hak-hak ini dilanggar sejak beberapa bulan lepas dengan pertukaran kerajaan.” katanya.

Semalam, beliau ditemani aktivis Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley, wartawan South China Morning Post, Tashny Sukumaran dan seorang wakil dari Kesatuan Kebangsaan Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu dilaporkan telah ke ibu pejabat Suhakam, di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum menggesa siasatan dijalankan.

Sementara itu, Chew menambah, sebahagian siasatan dibuat berdasarkan alasan yang “tidak masuk akal” yang boleh dianggap sebagai taktik intimidasi untuk mengekang kritikan terhadap kerajaan.
https://t.me/kartelmedia

Beliau menyebut contoh iaitu kes siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam sesi Parlimen maya, Parlimen Digital serta dakwaan menghina terhadap laman Malaysiakini dan ketua pengarangnya. 

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, suruhanjaya itu bersetuju untuk menyiasat setiap kes yang disenaraikan oleh Suaram. 

“Kami akan memanggil individu yang berkaitan untuk perbincangan dan membantu siasatan,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments