Kerajaan ambil alih projek OPV Maritim Malaysia

KERAJAAN mengambil alih projek kapal peronda luar pesisir pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia  daripada anak syarikat Tabung Haji, Destini Sdn Bhd.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah pengambil alihan itu diputuskan selepas ia didapati menghadapi masalah besar.

Justeru, jelasnya Kementerian Kewangan akan menyuntik pinjaman RM152.6 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

“Kita terpaksa berikan satu lagi bentuk suntikan pinjaman untuk projek ini siap dan RM152.6 juta pinjaman terpaksa disediakan.

“Dari tinjauan kita, projek ini boleh disiapkan, iaitu OPV pertama dalam tahun ini,” katanya dipetik Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Pada 13 Sept lalu, Maritim Malaysia melalui satu kenyataan berkata, tiga OPV yang sepatutnya diterima agensi itu pada 2020 masih dalam pembinaan oleh THHE Destini Sdn Bhd.

Susulan itu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Maritim Malaysia bagi menjelaskan kelewatan perolehan OPV itu.

Sementara itu Anwar pada sidang medianya berkata , kerajaan akan berusaha memastikan semua projek membabitkan pasukan keselamatan di KDN dan Kementerian Pertahanan akan cuba diselesaikan.

Kerajaan serius selamatkan projek sakit
“Perkara perolehan sama ada KDN dan Kementerian Pertahanan yang sangat penting untuk keselamatan tidak diambil kesempatan hingga menyebabkan kerugian akibat pelaksanaan lemah.

“Tindakan pertama mesti selamatkan dan disiapkan mengikut jadual. Keduanya, tidak lepaskan sesiapa yang salah guna kuasa, kaut kekayaan, tanpa siasatan,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments