Ahli umno mohon maaf fitnah Ahli Parlimen HARAPAN


GARA-GARA membuat tuduhan tanpa usul periksa, seorang ahli Umno terpaksa membuat permohonan maaf kepada seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bach, ahli Umno itu, Mohd Zaid Zulkafli memohon maaf kepada Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew kerana mengaitkan pemimpin KEADILAN itu dengan seorang tertuduh dalam kes menghina Nabi Muhammad.

Ahli Umno itu dilapor membuat tiga kenyataan fitnah yang kemudianya dikongsi ke akaun Facebook pada 3 dan 4 Mac lalu

“Saya memohon maaf atas kesilapan saya kerana mengaitkan dengan individu menggunakan nama ‘Alvin Chow’ yang menghina nabi, dan membuat laporan polis terhadapnya,” katanya dipetik laporan FMT.

Zaid selepas itu berjanji tidak akan mengulangi atau menerbitkan lagi kenyataan fitnah terhadap Tan.

“Saya akan memadam hantaran Facebook yang saya buat pada kedua-dua tarikh dengan segera,” tambahnya.

Terdahulu, seorang  penjaja makanan, Chow Mun Fai, yang menggunakan nama “Alvin Chow” di media sosial, dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 6 Ogos lalu atas dakwaan menghina nabi.

Tan memfailkan saman fitnah terhadap Zaid pada 2 Mei selepas lelaki itu mengaitkan dirinya dengan pengguna media sosial tersebut.

Beliau berkata hantaran Facebook Zaid telah mencemarkan nama baiknya sebagai Ahli Parlimen PKR dan beliau telah dipersenda akibat tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan “Alvin Chow”.

Tan yang ditemui media selepas permohonan maaf itu memberitahu pemberita bahawa beliau menerima permohonan maaf Zaid dan berharap kes itu menjadi pengajaran kepada orang lain supaya tidak membuat kenyataan tanpa memeriksa terlebih dahulu fakta sebenar.

Post a Comment

0 Comments