MAHKAMAH Rayuan Putrajaya membenarkan permohonan Farid Kamil Zahari untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 9 bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana menggunakan dadah.
Panel 3 Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Yaacob Md Sam membenarkan penangguhan itu sehingga kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu selesai.
Bagaimanapun, Mahkamah mengenakan syarat jaminan RM10,000 terhadap Farid Kamil dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Pengarah itu turut diarah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.
“Bagaimanapun, pemohon boleh memohon pasport diserahkan sementara kepadanya jika ada keperluan,” kata Yaacob yang bersidang dengan Hakim P Ravinthran dan Abu Bakar Jais.
Terdahulu, peguam Kee Wei Lon memohon penangguhan itu sementara kebenaran untuk merayu didengar pada 7 Jan depan. Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail tidak membantah permohonan itu.
Sebelum ini, Farid sudah menjalani hukuman itu di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Majistret tidak membenarkan permohonannya untuk menagguhkan pelaksanaan hukuman.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi sama pada 19 Jun lalu membenarkan permohonan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman yang sedang dijalaninya sehingga rayuannya selesai dan dia dibebaskan dari penjara.
Farid didakwa menggunakan dadah dikenali sebagai THC di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 4.30 petang 11 Jan 2018.
Beliau dikenakan tuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
0 Comments