Senator dakwa YB Melayu seleweng dana peladang


BEKAS
Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr Yaakob Sapari mendedahkan salah guna kuasa membabitkan dana untuk peladang ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Melalui hantaran di laman Facebooknya, Yaakob mendakwa seorang wakil rakyat BN bergelar Datuk sanggup menyeleweng peruntukan jutaan ringgit yang sepatutnya disalurkan kepada golongan peladang.

Penyelewengan itu juga menurutnya melibatkan bangunan ibu pejabat NAFAS di Selangor.

“Duit peladang pun YB Datuk sanggup kebas. Bangunan RM 48 juta (ringgit), YB Datuk beli dengan harga RM 59 juta.

“Seorang pengurus kanan memberitahu saya, bangunan ibu pejabat NAFAS dia yang cari. Harga tawaran dia dapat RM 48 juta.

“Dia beritahu Jemaah Pengarah harga tawaran tersebut. Malangnya Jemaah Pengarah setuju beli dengan harga RM 59 juta,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk Kota Anggerik itu.

Pendedahan Yaakob turut disiarkan sebuah portal pro Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam.
Senator Dr Yaakob Sapari


Bagaimanapun jelas Senator Dewan Negara itu, kes tersebut telah dibawa kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat.

“Dalam siasatan tidak tahu bila nak ambil tindakan. Ada istilah legally right, morally wrong,” ujar senator itu.

Beliau yang dilantik sebagai AJP NAFAS pada Januari tahun lalu itu juga akan berkongsikan banyak lagi penyelewengan yang berlaku.

“Inilah YB Melayu, sanggup makan duit haram,” bidasnya.

Tambah Yaakob, NAFAS yang dianggotai seramai 950,000 orang itu telah digantung oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selama enam bulan kerana salah laku Jemaah Pengarahnya.

Untuk rekod, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ketika pentadbiran kerajaan HARAPAN telah menggantung operasi NAFAS berkuat kuasa 1 Jun 2018.

Penggantungan agensi tersebut dibuat susulan salah laku jemaah Jemaah Pengarahnya.

Menterinya, Salahuddin Ayub ketika itu berkata, penggantungan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.

Post a Comment

0 Comments