Padah biar anak main basikal lajak


KERANA membiarkan anak terlibat aktiviti basikal lajak, enam penjaga menerima padah apabila kesemua mereka ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff yang dipetik media berkata kesemua penjaga yang ditahan berusia sekiatar 37 hingga 52 tahun dan bekerja antaranya sebagai pengawal keselamatan, peniaga dan penyelia hotel.

“Kesemua mereka ditahan kerana membiarkan kanak-kanak tanpa pengawasan berpatutan dan disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis sejurus keterangan diambil.

Terdahulu, enam remaja lelaki berusia 11 hingga 16 tahun ditahan ketika menunggang basikal lajak di jalan raya kira-kira 8.51 malam dan dibawa ke Balai Polis Trafik Pandan Indah, Ampang untuk siasatan.

Noor Azmi berkata dua daripada remaja berkenaan berusia 15 dan 16 tahun didapati tidak bersekolah.

“Kesemua mereka dikenakan saman dan diserahkan kepada penjaga masing-masing manakala basikal disita mengikut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Seksyen itu, seorang pegawai polis, pegawai pengangkutan jalan atau warden lalu lintas boleh menahan mana-mana basikal, basikal elektrik atau trisikal yang dalam pandangannya suatu kesalahan telah dilakukan berkenaan dengannya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah sebelum ini menegaskan penggunaan basikal lajak di jalan raya adalah diharamkan kerana diubahsuai dan tidak mempunyai brek.

Sementara itu, tinjuan di laman sosial mendapati rata-rata warganet menyokong tindakan keras yang dilakukan pihak berkuasa itu.

Mereka turut mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana bertindak tegas ketas penjaga yang cuai menjaga anak-anak mereka.

"Tahniah PDRM, memang tindakan perlu diambil, kalau berlaku kemalangan, ia menyusahkan orang ramai," kata Charles Chin.

Sementara itu, Paulsen Lau pula berkata" sayang anak bukan bagi mereka kebebasan melakukan aktiviti yg membahayakan diri dan orang lain. Ada banyak lagi aktiviti yg boleh mereka(anak-anak) terlibat.

Post a Comment

0 Comments