Azhar Harun tolak usul bahas isu 'harga barang' dikemuka Anwar


USUL Dewan Rakyat dikemuka Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan krisis ekonomi membabitkan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit ditolak Speaker Azhar Azizan Harun.

Ketika menolak usul tergempar itu, Azhar berkata isu itu tidak perlu disegerakan kerana ia sudah dibincangkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Selain itu katanya, isu berkenaan juga turut disentuh dalam sesi soal jawab hari ini yang dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dengan panjang lebar.

“Saya pasti, isu ini akan diperdebatkan semua Ahli Parlimen dan akan dijawab menteri berkaitan. Justeru, saya terpaksa menolak usul berkenaan,” katanya.

Anwar sebelum ini melalui perkongsian di laman Facebooknya memberitahu bahawa usul itu penting dan perlu dibincangkan segera kerana ia memberi kesan teruk kepada kehidupan rakyat dan negara.

Nilai matawang Ringgit menjunam ke paras terendah dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar AS - yang mengalami peningkatan berikutan kenaikan kadar faedah.

Ia telah memberi kesan berpanjangan terhadap kenaikan harga barang memandangkan Malaysia bergantung kepada barangan import.
Tak pentingkah isu harga barang dihadapi rakyat?
Sementara itu, Azahar ketika menolak usul tersebut juga memberi alasan persidangan Dewan Rakyat kali ini juga akan menumpukan kepada Bajet 2023 mulai minggu depan, selepas ia dibentangkan pada Jumaat ini.

Anwar walau bagaimanapun membantah dengan berkata, perbahasan Bajet 2023 akan lebih tertumpu kepada perbelanjaan masa depan, manakala sesi waktu soalan hanya memberi ruang kepada menteri menyampaikan “syarahan ekonomi” tanpa sebarang ruang untuk perbahasan.

Post a Comment

0 Comments