Kelewatan projek LCS 'rencat' perancangan TLDM


PANGLIMA Tentera Laut Laksamana Mohd Reza Mohd Sany menyuarakan kerisauannya mengenai aset Angkatan Tentera Malaysia terutamanya TLDM yang usang.

Dipetik laporan Bernama, Mohd Reza berkata, TLDM sebelum ini pernah memiliki 16 buah kapal perang pelbagai saiz, namun bilangan ini berkurangan dengan signifikan, apabila majoriti kapal itu hilang keupayaan kombatan akibat faktor keusangan peralatan dan sistem persenjataan.

“Penggantian kepada kapal-kapal ini dirancang melalui perolehan kapal tempur pesisir (LCS), namun kelewatan projek LCS ini telah menjejaskan perancangan TLDM...

"Keperluan perolehan kapal-kapal kombatan (perang) tambahan perlu turut diberi perhatian serius oleh kerajaan,” katanya pada Wawancara Khas bersama media sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Paskal Ke-40.

Beliau turut berkata, bajet selenggaraan aset sedia ada sentiasa terhad bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Namun walaupun berdepan dengan cabaran itu, TLDM jelasnya akan tetap fokus dengan misinya mempertahankan kedaulatan dan melindungi kepentingan maritim negara.

Dipetik laporan itu juga Mohd Reza menegaskan bahawa pertahanan negara perlu dikukuhkan bagi menghadapi situasi keselamatan dunia yang dinamik dan sentiasa berubah, dalam masa singkat serta sukar diramal seperti berlaku di beberapa negara luar baru-baru ini.

Situasi tersebut, jelasnya dikenali sebagai VUCA (pergolakan, ketidakpastian, kompleks, kekaburan/kesamaran).

“Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berhadapan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing, serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

Pertahanan negara perlu diberi keutamaan utama
“Aktiviti itu boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekali gus menjejaskan keamanan perairan maritim negara, dan menuntut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi tindak balas sewajarnya bagi mengatasi ancaman tersebut,” katanya.

Mohd Reza turut mengingatkan bahawa sektor pertahanan adalah ‘insurans’ dan kerajaan harus melakukan pelaburan pertahanan.

Dengan langkah itu jelasnya apabila berlaku perkara yang tidak diingini, negara mampu bertahan daripada ancaman dan impak kepada risiko keselamatan negara dan rakyat adalah minimum.

Post a Comment

0 Comments