Rafizi dakwa Umno cuba main isu perkauman



TIMBALAN PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli mendakwa Umno kini sengaja menggunakan isu siasatan ke atas buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk membangkitkan sentimen perkauman.

Dipetik laporan Sinar, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, isu siasatan itu dimainkan bertujuan untuk memastikan orang Melayu terus menyokong parti itu.

Jelasnya, isu siasatan itu telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa, justeru Umno tidak seharusnya membangkitkan isu tersebut.

"Isu ini sudah diambil tindakan dan sedang melalui proses undang-undang malah kes sedang berjalan. Saya pelik kenapa Umno buat bising.

"Pemuda Umno telah menggunakan isu ini sebagai isu perkauman. Sebab dia (Umno) ingat mengapi-apikan isu perkauman terhadap Tommy Thomas, terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN) itu akan memberikan sokongan orang Melayu kepada mereka," katanya.

Rafizi sebelumnya hadir pada sesi townhall di Auditorium A Komtar pada Ahad.

Pemuda Barisan Nasional (BN) sebelum ini mempersoalkan tindakan pimpinan HARAPAN yang hanya berdiam diri berhubung hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness tulisan Tommy Thomas.

Ketua Pemudanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu menimbulkan persoalan sedangkan pimpinan pembangkang mendakwa merekalah yang paling mendaulatkan undang-undang.

Menjawab dakwaan itu, Rafizi menegaskan bahawa pihaknya akan bersuara apabila terdapat isu membabitkan penyelewengan yang tidak diambil tindakan seperti isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS).

"Sama kes macam Lim Guan Eng, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semua ini telah melalui proses (undang-undang).

"Kecuali ada kes yang jelas penyelewengan berlaku tetapi tindakan tidak diambil, sebagai contoh skandal kapal, barulah kami bersuara," katanya.

Dalam pada itu beliau turut berkata, Umno melakukan kesilapan besar apabila memainkan sentimen perkauman bagi meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu.

HARAPAN tak buang masa desak kes yang disiasat
"Adalah menjadi satu kesilapan apabila mereka menggunakan sentimen perkauman.

"Kita tahu bahawa fokus pengundi termasuk pengundi Melayu ialah soal kehidupan seharian, siapa yang boleh bantu kos sara hidup, parti mana letak calon lebih banyak akal dan calon yang lebih lebih baik.

"Kita akan fokus itu dulu, mana yang telah diuruskan oleh proses undang-undang akan diuruskan oleh proses undang-undang," katanya dipetik.