DAP Perak secara terbuka mengalu-alukan Presiden Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusinya, Nga Kor Ming dalam ucapan sempena Konvensyen Tahunan DAP Perak kali ke-21 di Ipoh pada Ahad berkata, ketokohan Anwar amat diperlukan dalam usaha memenangkan HARAPAN di negeri itu.
Jelasnya, berdasarkan rekod tiga pilihan raya umum sebelum ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti bertanding amat tipis dan seimbang dan kehadiran Anwar di negeri itu bakal memberi nilai tambah kepada HARAPAN.
"Oleh kerana itu sebagai pengerusi DAP Perak, demi membantu Perak menang, saya hari ini mengalu-alukan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di negeri Perak.
"Jika beliau datang, saya yakin bukan sahaja beliau akan menang tetapi akan membantu kita memenangi semula kerajaan negeri Perak. Jangan lupa, negeri Perak ini sudah tiga penggal 50-50," katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden KEADILAN memberi bayangan mungkin bertanding kerusi Parlimen yang disandang oleh 'pengkhianat'.
Tanpa menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, Anwar berkata, ia mestilah memberi kelebihan tambahan kepada KEADILAN dan gabungan diketuainya.
"Kita boleh masuk kubu kuat UMNO, tetapi saya harus memilih kerusi disandang pengkhianat. Mesejnya adalah pengkhianatan dalam politik (tidak boleh diterima)," katanya pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS) minggu lalu.
Gesaan supaya Anwar bertanding di Perak bukan pertama kali disuarakan DAP, pemimpin KEADILAN negeri itu sebelum ini mempelawa Anwar bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di negeri itu termasuk kawasan Parlimen Tambun yang disandang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Anwar ketika itu memaklumkan beliau masih belum membuat keputusan susulan gesaan terutama dari pengundi di Port Dickson yang mahu beliau kekal.
Sementara itu, Kor Ming berkata, walaupun pihaknya tidak menetapkan lokasi khusus untuk Anwar bertanding, namun sekiranya Ketua Pembangkang itu bertanding di Tambun ia jelasnya bakal menjadi pertembungan menarik.
![]() |
Lagi gesaan supaya Anwar bertanding di Perak |
"Bukan sahaja di (Parlimen) Gombak, bukan saja (Parlimen) Ampang, Tambun lagi teruk," katanya sambil disambut sorakan perwakilan yang hadir.
0 Comments