SELEPAS Perak dan Melaka, Kerajaan Negeri Johor hari ini mengumumkan bonus untuk penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, kira-kira 13,400 kakitangan awam negeri bakal menerima satu bulan gaji atau sekurang-kurangnya RM2,000 setiap seorang.
Tambahnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri bakal memperuntukkan kewangan sebanyak RM34.78 juta.
“Pembangunan Johor tidak akan dicapai seperti mana yang kita nikmati hari ini tanpa komitmen, dedikasi dan pengorbanan penjawat awam.
"Justeru, bagi menghargai jasa penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan yang akan dibayar sebanyak dua kali iaitu sebelum akhir tahun 2019 dan juga sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2020," kata Sahruddin.
Bantuan kewangan khas ini juga, jelas beliau, akan turut sama dinikmati oleh semua wakil rakyat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, guru-guru kelas agama dan fardu ain, guru-guru tadika Islam Johor dan penjawat-penjawat awam lain.
0 Comments