Jho Low desak bon Islam disegerakan


KENALAN
rapat keluarga bekas perdana menteri, Jho Low didakwa pernah mendesak agar proses mendapatkan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bagi projek Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) disegerakan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika prosiding berkaitan kes salah laku melibatkan Najib Razak di Mahkamah tinggi berkata, Jho Low memberi alasan bahawa Najib Razak dan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin yang merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (ketika itu) memintanya menyegerakan program mengumpul dana kerana pengoperasian TIA bermula tanpa dana.

"Saya dimaklumkan oleh Jho Low di awal lagi terdapat cadangan untuk Kerajaan Persekutuan mengeluarkan jaminan kerajaan (GG) terhadap pinjaman sebanyak RM5 billion yang akan dibuat oleh TIA bagi menambahkan dana dalam TIA.

Shahrol Azral di Mahkamah Tinggi
"GG ini akan digunakan untuk menjamin pinjaman oleh TIA yang akan dibuat melalui terbitan bon IMTN melalui institusi bank tempatan," kata Shahrol Azral yang juga merupakan bekas CEO TIA.

Tambahnya, setelah menyertai TIA, beliau sekali lagi dimaklumkan Jho Low bahawa Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada Bakke (Mohd Bakke Salleh) Azlan (Azlan Zainol) dan Ismee (Ismee Ismail) telah memulakan perbincangan dan cadangan untuk mendapatkan terbitan bon RM5 billion kepada TIA.

“Program ini diterangkan oleh Jho Low yang bertindak sebagai Penasihat Pengumpul Dana di peringkat awal namun begitu, konsultan yang dilantik telah pun membuat pembentangan di hadapan Jawatankuasa Pemandu TIA," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata tindakan pertamanya di TIA adalah dengan melantik AmInvestment Bank Berhad sebagai Pengatur Utama, Pengurus Utama dan Pelanggan Utama untuk mendapatkan IMTN bernilai RM5 billion.

Katanya, cadangan pelantikan AmInvestment Bank Berhad ini telah dicadangkan oleh perunding kewangan iaitu Goldman Sachs (M).

"Goldman Sachs telah membentangkan cadangan ini di pejabat saya, turut hadir adalah Casey Tang. Casey Tang pula berurusan dan mendapat pandangan daripada Jho Low sebagai advisor," katanya dipetik laporan Bernama.

TIA ditubuhkan pada 27 Feb 2009 dan ditukar nama kepada 1MDB pada 25 Sept 2009.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Post a Comment

0 Comments