KAUKUS Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan seminar berkenaan kemiskinan dan kesenjangan pendapatan bersama Ahli Parlimen untuk mencari penyelesaian berkenaan masalah itu.
Melalui satu kenyataan, Anwar berkata, laporan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston, berkenaan garis kemiskinan yang tidak tepat di Malaysia baru-baru ini ternyata "membuka mata" bahawa statistik tidak boleh menutup "realiti sebenar.
![]() |
K'jaan mencari formula terbaik atasi kemiskinan |
"Kita akan dikira melakukan kecelakaan yang besar kepada rakyat sekiranya pertimbangan, metodologi dan pendekatan dalam memerangi kemiskinan tidak disemak semula," tegasnya.
Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan itu bakal diadakan di Parlimen hari ini dengan semua ahli parlimen dan senator telah diundang menyertainya.
Dua pakar ekonomi dari Universiti Malaya Prof Dr Rajah Rasiah dan KS Jomo akan membentangkan dapatan mereka tentang keadaan kemiskinan di negara ini.
"Di penghujung seminar kami akan memberikan resolusi dan panduan tentang bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) harus membetulkan fokus dalam usaha mencipta sebuah ekonomi yang belas dan prihatin kepada golongan miskin tanpa kira kaum dan kelompok.
Terdahulu, Alston dalam laporannya antara lain menyifatkan kadar kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus pada 2016 tidak realistik.
Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.
Alston dilapor berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia ialah kira-kira 15 peratus yang hampir dengan negara lain.
0 Comments