DEMI kelangsungan bekalan air bersih di Selangor, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mewartakan kesemua tujuh empangan di negeri ini di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, pewartaan itu dibuat bagi melindungi rizab itu dari gangguan atau pencemaran.
Selain itu tambahnya, kerajaan negeri juga turut mewartakan 413 daripada 1,026 batang sungai di negeri itu dibawah peruntukan sama.
"Di samping itu, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di hulu dari muka sauk sebagai amaran awal jika berlaku pencemaran," katanya.
Loy Sian sebelumnya menjawab pertanyaan lisan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berhubung usaha kerajaan negeri menggelakkan pencemaran sungai ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu mencadangkan penubuhan jawatankuasa bagi mengawal selia sungai di negeri ini bagi memastikan tahap kebersihannya terjamin.
Mengulas mengenai perkara itu, Loy Sian berkata, LUAS telah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-Sungai Negeri Selangor dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan bersama memulihara sumber itu.
"Pemantauan berkala dilaksanakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan sumber air dan kawasan tadahannya terpelihara.
"Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan juga sentiasa dilaksanakan melibatkan siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah,"katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sektiar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada 1 Oktober lalu bagi mencadangkan penambahbaikan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekitar Sekeliling berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
0 Comments