PEMUDA Pakatan Harapan (HARAPAN) menyelar Hamzah Zainuddin yang memetik nama "Tuanku" sebagai justifikasi bagi menaikkan pangkat pegawai anggota polis pilihannya.
Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataan semalam berkata, tindakan menteri dalam negeri kerajaan Perikatan Nasional itu satu perbuatan biadap yang cuba mengheret istana dalam kancah politik.
"Kita merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas.
"Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama ‘Tuanku’ sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota polis yang mahu dipilihnya.
"Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau," katanya dalam kenyataan yang dipetik media.
Terdahulu satu rakaman audio yang membincangkan pemilihan ketua polis baru tular di media sosial.
Dalam perbualan itu seorang lelaki difahamkan cuba mengatur individu tertentu untuk dilantik ke jawatan dalam pasukan itu. tindakan lelaki dalam audio itu tidak disenangi warganet kerana dilihat cuba mengawal pasukan polis yang sepatutnya tidak duduk bawah kawalan 'orang politik'
Susulan kekecohan di media sosial, Hamzah kemudian mengakui bahawa suara dalam klip audio viral tersebut, namun dengan bangga Ahli Parlimen Larut itu berkata dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang akan bersara mulai esok sebelum ini mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan baik dengan Hamzah yang menurutnya mencampuri dan mencampur aduk urusan kepolisian dengan agenda politik.
Hamzah yang mempengerusikan Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) juga tegasnya gagal menjalankan 'tugas' dengan baik apabila mesyuarat yang seharusnya diadakan setiap bulan hanya diadakan untuk 4 kali sahaja tahun lalu dengan sesi berlangsung seolah-olah 'pertemuan minum kopi'.
Dibawah Hamzah juga tegas Abdul Hamid, banyak isu dan kes-kes yang perlu diuruskan SPP tidak diurus dengan baik dan terbengkalai.
Sementara itu, Shazni yang juga ketua pemuda Amanah menyifatkan pengakuan Hamzah penuh keangkuhan.susulan itu satu laporan polis akan dibuat terhadap Hamzah yang jelas menghina istana.
![]() |
Hamzah dianggap sudah langkaui batas |
"Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ oleh Hamzah itu disiasat setelus-telusnya. Menteri masih tertakluk kepada undang-undang. Jawatan itu bukan tiket untuk disalahguna, apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara," katanya lagi.
0 Comments