Star@U platform perkasa belia tercicir pelajaran


LEBIH
700 belia yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mempunyai peluang lebih cerah untuk memajukan diri mereka.


Ia setelah kesemua mereka berjaya menamatkan projek rintis Skill Training At Risk@Youth atau Star@U anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan menterinya Steven Sim Chee Keong berkata program Star@U anjuran kementerian itu memberikan fokus kepada belia daripada keluarga golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Ia sebagai salah satu usaha kementerian bagi memperkasakan golongan itu.

“KBS wujudkan program ini khusus kepada golongan belia berisiko.

"Ada belia yang cicir SPM, mereka ini daripada keluarga B40, tinggal di kawasan pedalaman malah mungkin tiada akses pendidikan. Jadi KBS bawa kursus kemahiran seperti kursus ‘scaffolding’ (pemasangan perancah) untuk mereka ambil bahagian.

“Mereka ikuti kursus jangka pendek sekurang-kurangnya enam minggu menerusi program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada komuniti ini,” katanya dipetik Bernama.

Sim sebelumnya menjadi tetamu rancangan Darah Muda: Belia Denyut Nadi TVET Malaysia di Bernama TV semalam.

Sebagai rekod, program Star@U memberi peluang kepada belia Malaysia untuk mengikuti kursus latihan kemahiran jangka pendek secara percuma sebelum layak mendapat sijil penyertaan kursus yang membolehkan golongan itu meneruskan pengajian bagi mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sehingga kini terdapat 22 Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) di seluruh negara yang kebanyakan terletak di kawasan pedalaman bertujuan memberi capaian akses latihan kemahiran kepada belia di kawasan tersebut.

Post a Comment

0 Comments