PM Anwar hargai sokongan Mesir untuk Malaysia sertai BRICS

MALAYSIA menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan Malaysia sebagai negara rakan kerjasama BRICS.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu telah dinyatakan pada kunjungan hormat beliau dan delegasi ke atas Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Istana Istana Al-Ittihadiya, sempena lawatan rasminya ke Mesir.

"Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS, yang Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mesyuarat dua hala kedua-kedua pemimpin.

Mengulas lanjut pertemuan itu Anwar berkata, kedua-dua mereka telah menyentuh pelbagai perkara dalam usaha memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

Ia meliputi soal kerjasama dalam bidang pelaburan dan perdagangan, minyak sawit, industri halal, pendidikan, pelancongan, kesihatan serta sumber asli dan tenaga boleh baharu.

Anwar berkata, beliau dan El- Sisi turut membincangkan situasi di Palestin, dan Malaysia menyanjung usaha Mesir bersama Qatar dan Amerika Syarikat bertindak selaku perantara dalam menoktahkan penindasan oleh rejim zionis Israel.

Selain itu turut dibincangkan adalah mengenai situasi kian meruncing di Lubnan, yang berkemungkinan boleh mengakibatkan konflik lebih meluas di Asia Barat.

"Kami bersetuju bahawa kedua-dua negara mesti memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan keganasan dihentikan dan nyawa diselamatkan serta keadilan sejagat mesti ditegakkan.

"Mendoakan semoga hubungan Malaysia dan Republik Rakyat Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.


Post a Comment

0 Comments