Penyasaran subsidi: Setiausaha menteri dakwa pembangkang cuba main naratif jahat

SETIAUSAHA POLITIK Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menempelak dakwaan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung cadangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Melalui satu kenyataan Muhammad Kamil menyifatkan Ahli Parlimen Pasir Mas itu cuba mewujudkan naratif palsu yang bertujuan mengelirukan rakyat.

"Mengapa (Ahmad Fadhli) tidak menyebut sekali subsidi penyasaran berkenaan lebih tertumpu kepada usaha untuk menghentikan penggunaan 40 peratus bahan api bersubsidi oleh golongan T15 dan warga asing? Itulah ibu segala isi cadangan kerajaan.

"Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan jaminan 85 peratus rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan cadangan itu.

"Perkara ini tidak diceritakan, yang diceritakan ialah kisah 'separuh masak' iaitu kerajaan nak tarik subsidi," katanya.

Mengulas lanjut Muhammad Kamil menegaskan kelemahan pihak pembangkang memainkan peranan sebenar mereka.

Pembangkang bukan sahaja gagal memberikan kritikan membina, malah lebih teruk mereka kerap mewujudkan spekulasi jahat bagi membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

"Kerajaan berdepan cabaran dan asakan berlandaskan fitnah dan kecaman kerana hasutan mereka membangkitkan emosi, sikap prasangka serta kebencian dan bukannya menggunakan pertimbangan rasional," katanya.

Beliau sementara itu turut menjelaskan ketetapan dibuat kerajaan berhubung penyasaran subsidi bertujuan membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang diambil kesempatan oleh kelompok kaya dan warga asing.

Malah kerajaan juga telah memberi komitmen bahawa penjimatan dari penyasaran subsidi akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini.


Post a Comment

0 Comments