Belanjawan 2025 lebih mesra warga emas - Timbalan Menteri KPWKM

BELANJAWAN 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat disifatkan sebagai belanjawan yang lebih mesra warga emas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, belanjawan itu seiring persiapan ke arah menghadapi negara menua pada 2030.

"Peruntukan RM3.64 bilion untuk KPWKM dalam belanjawan berkenaan akan membolehkan banyak program kepada warga emas dilaksanakan termasuk berkaitan aktiviti sosioekonomi dan penambahbaikan pusat aktiviti warga emas (PAWE).

“Belanjawan 2025 juga mesra kepada Orang Kurang Upaya (OKU), dengan pertambahan peruntukan yang diharap membantu golongan itu meneruskan kehidupan selain peruntukan kepada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS),” katanya.

Beliau sebelumnya hadir merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan@Advokasi Antigangguan Keganasan Seksual Zon Selatan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, Pagoh pada Ahad.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat minggu lalu antara lain menyentuh mengenai Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah KPWKM sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

Selain itu, program Returnship akan dilaksanakan yang bertujuan menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan dengan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.

Kerajaan turut bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.
 

Post a Comment

0 Comments