Dakwaan caj rawatan di hospital naik adalah fitnah

KEMENTERIAN KESIHATAN (KKM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kenaikan kos rawatan hemodialisis di fasiliti kesihatan awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi maut naik di akaun Facebook menegaskan kos rawatan itu tidak pernah dinaikkan seperti yang didakwa.

Malah kerajaan juga tegasnya tidak bercadang untuk menyemak mana-mana fi buat masa ini.

"Telah tular kembali mesej berantai lama yang mendakwa bahawa Malaysia kini menuju ke arah 'khidmat kesihatan berbayar' . Adalah ditegaskan bahawa kerajaan Malaysia terutamanya di bawah pentadbiran Malaysia MADANI telah berulang kali menegaskan iltizam mengekalkan akses terbuka kepada perkhidmatan kesihatan.

“Penularan mesej yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab ini seharusnya dihentikan," katanya.

Terdahulu, hantaran tular oleh pihak tidak bertanggunjawab itu mendakwa rawatan hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma kerana pesakit wajib membayar RM13 bagi satu sesi atau RM169 sebulan, yang kononnya telah bermula sejak lebih setahun lepas.

Bagi menjelaskan perkara itu Dr Dzulkefly menegaskan, bayaran RM13 untuk satu sesi, atau lazimnya RM169 sebulan bagi perkhidmatan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu, adalah bayaran sama sejak 2016.

Selain itu, katanya, perkhidmatan asas di fasiliti KKM juga kekal RM1 manakala perkhidmatan pakar ialah RM5 iaitu kadar sama seperti sebelum ini.



Post a Comment

0 Comments