IKIM tolak tuduhan RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 bersifat autoritarianisme

KETUA PENGARAH Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil menolak tuduhan yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 bersifat autoritarianisme.

Melalui satu kenyataan Dr Mohamad Azam menegaskan, tuduhan itu tidak berasas kerana ia tidak memberikan kekuasaan mutlak kepada Mufti sebaliknya bertujuan memberikan panduan yang jelas dalam penerbitan fatwa di Wilayah Persekutuan.  

"Tujuan utama RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk memperkukuh institusi kefatwaan di Malaysia, khususnya dalam hal penerbitan fatwa dan hukum Islam.
 
"Undang-undang ini dirancang untuk menyelaras prosedur penerbitan fatwa. Dengan adanya Undang-Undang Mufti yang jelas, fatwa yang dikeluarkan akan lebih konsisten dan dapat dipertanggungjawabkan," katanya.

Terdahulu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membantah RUU tersebut dengan mendakwa ia adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani.

Zaid memberi amaran bahawa sebaik sahaja RUU itu diluluskan, ia akan membolehkan mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Sementara itu tegas Dr Mohamad Azam, bagi maksud gubalan undang-undang, hal berkaitan Islam bagi tujuan Wilayah Persekutuan ada disenaraikan dalam Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan pada Seksyen 4(k), yang menyatakan, bahawa Parlimen mempunyai kuasa perundangan berkaitan “Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk (k) Penentuan hukum syarak dan undang-undang diri yang lain bagi maksud undang-undang Persekutuan,”.

Dalam keadaanitu jelasnya, bagi urusan berkaitan pentadbiran dan perundangan Islam, termasuk juga kemajuan dan pendidikan Islam dalam Wilayah Persekutuan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong.

“Parlimen menggubal akta berkaitan Islam, dari segi perundangan dan pentadbirannya Islam di Wilayah Persekutuan adalah di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” tambah Dr Mohamad Azam.

Sehubungan itu beliau melahirkan harapan agar langkah itu tidak hanya meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti, sebaliknya akan meningkatkan kredibiliti institusi kefatwaan.

"RUU itu juga diharapkan dapat mencegah penyebaran ajaran sesat dan menjaga kesucian ajaran Islam," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments