RUU berkaitan kewarganegaraan dibahas, diputuskan di Parlimen minggu depan


RANG UNDANG UNDANG Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan kewarganegaraan akan dibahas dan diputuskan pada sidang Parlimen yang akan bermula minggu hadapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Rabu Saifuddin berkata, tumpuan pindaan itu diberikan dalam usaha membolehkan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing mendapat kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang atau secara automatik.

"Ini sebahagian daripada janji Kerajaan MADANI dan kami tunaikan.

"Saya percaya Ahli Parlimen akan letak kepentingan rakyat sebagai keutamaan, jauh mengatasi daripada sentimen dan kepentingan kita sendiri.

"Saya yakin ini keputusan yang betul, tugas Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Dalam Negeri yang diberikan tugas adalah untuk melengkapkan proses itu," katanya.

Saifuddin memaklumkan, ketika ini anak yang lahir di luar negara akan mendapat kewarganegaraan secara pendaftaran iaitu dilakukan melalui permohonan.
 
Sementara itu beliau menegaskan, cadangan kepada pindaan tersebut  telah dikaji dengan teliti dan secara cermat  bagi memastikan keluhuran perlembagaan terjaga dan keselamatan di dalam negeri tidak dikompromi.

"Pindaan yang akan dibahaskan itu sudah melalui proses yang panjang dan sudah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

"Itu sudah berlangsung tidak kurang tiga pusingan. Sebelum pindaan sampai ke tahap ini, ia juga sudah dibentangkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak di mana kedua-duanya juga sudah memberikan lampu hijau.

"Malah libat urus dengan badan bukan kerajaan, masyarakat sivil, individu, aktivis dilakukan secara intensif sekali dan ini adalah peringkat terakhir sebelum di bawa ke Dewan Rakyat," katanya.

Pada Disember 2022, Sinar Harian menerusi Laporan Khas bertajuk 'Apa dosa kami' mendedahkan hampir 6,000 ibu warga Malaysia yang mempunyai anak tidak sah taraf kewarganegaraan berharap agar  Perkara 14(1)b) Perlembagaan Persekutuan dipinda.
 
Pindaan Perlembagaan itu penting agar anak-anak berkenaan yang kini menetap di dalam negara bersama keluarga mereka tidak diusir keluar dari Malaysia apabila mencecah usia 21 tahun.

Post a Comment

0 Comments