Ada 'operasi' tersusun di media sosial untuk burukkan kerajan - Fahmi

PENYEBARAN berita palsu termasuk yang menggunakan sentimen agama dilihat semakin berleluasa termasuk ketika Ramadan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli memaklumkan, pihaknya telah mengesan hantaran mesej secara tersusun di media sosial bagi memburukkan kerajaan apabila mendakwa tiada pertandingan majlis tilawah al-Quran didakan pada tahun ini.

Sehubungan itu jelasnya, beliau telah memberi arahan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneliti dan mengenal pasti dalang terbabit dengan "operasi" itu.

"Kementerian ini telah mendapati ada siri mesej yang tersusun, satu tindakan yang dimulakan beberapa pihak khususnya di platform media sosial Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.

"(Mereka) menuduh tahun ini tak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza kalau nak dibandingkan dengan corak yang telah kita saksikan sebelum ini.

"Saya telah arahkan SKMM untuk meneliti, mengenal pasti semua yang terlibat dalam operasi ini dan kita akan ambil beberapa tindakan yang bersesuaian dan tegas memandangkan ada pihak-pihak tertentu yang cuba memesong fakta," katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.

Terdahulu tular hantaran dimuat naik sejumlah pemilik media sosial yang mendakwa tiada masjlis tilawah al-Quran diadakan tahun ini termasuk yang mendakwa Malaysia tidak lagi menganjurkan pertandingan tilawah dan fokus kepada konsert.

Susulan itu laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tampil memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan telah dijadualkan pada 23 hingga 28 Mei nanti di Kuantan, Pahang.

Sementara itu Fahmi berkata, beliau akan bertemuan dengan pemilik Facebook, Meta berhubung perkara itu.
 
"Isnin depan saya, SKMM serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan Meta dan kita akan bangkitkan bagaimana Meta telah diperalat dan diperguna untuk memesong fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu.

"Sekiranya pihak Meta gagal untuk memberikan kerjasama kita ada beberapa tindakan yang sedang dirangka yang akan kita ambil kemudian," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments