PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menyantuni 17 peniaga yang terkesan akibat kebakaran di Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi, Perak, Mac lalu.
Melalui hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata beliau melalui setiausaha politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim telah menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang terlibat.
"Saya zahir simpati terhadap nasib peniaga yang menjadi mangsa.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kerugian yang mereka alami, insya-Allah,” katanya.
Dalam kejadian pada 10 Mac itu kebakaran dikatakan bermula di tingkat dua premis perniagaan berkenaan sekitar jam 6.45 petang.
Kejadian disedari orang ramai selepas bekalan elektrik terputus diikuti bunyi loceng penggera kebakaran.
Media melaporkan, kira-kira 40 pekerja dengan lebih 200 pengunjung berada di dalam pasar raya Mydin Manjoi berkenaan bagi membuat persiapan akhir persekolahan dan menyambut Ramadan.
Kesemua pekerja dan pengunjung sempat mengosongkan premis sebelum api mula marak di tingkat dua bangunan yang menempatkan seksyen pakaian, barangan elektrik dan keperluan harian.
Mydin dilapor telah mengalami kerugian sekitar RM50 juta akibat insiden itu.
0 Comments