CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir akan kembali berkempen dengan menggunakan kerusi roda.
Mohd Zaidy yang mengalami kecederaan selepas terlibat kemalangan baru-baru ini berkata, beliau tidak patah semangat untuk terus berkempen, malah mengadakan ziarah kematian seorang penduduk di dalam kawasan (Jeram Padang) dengan menggunakan kerusi roda.
“Isteri dan rakan-rakan bantu menolak saya, kalau sebelum ini saya boleh berjalan kaki sendiri tetapi dalam keadaan macam ini saya perlu buat keputusan supaya dapat berjumpa seramai yang mungkin walaupun berkerusi roda,” katan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan itu.
Beliau ditemui di rumahnya di Batu Kikir di sini hari ini selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Mohd. Zaidy dalam pada itu memberitahu, dia perlu mengambil masa untuk berehat dan akan berkempen seperti biasa selepas itu.
“Jentera tiada masalah ditambah dan berjalan dengan lancar, saya akan buat yang terbaik untuk pengundi-pengundi di Jeram Padang,” tambahnya lagi.
Ditanya keadaan pembantunya, Muhammad Khairul Ahnaf Baharom, 36, yang mengalami kecederaan parah dalam nahas tersebut, beliau memberitahu Muhammad Khairul masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
“Keadaannya stabil cuma doktor perlu menidurkannya sebab dia tidak cukup rehat. Dia mengalami patah tangan dan pendarahan kecil di kepala dan perut,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd. Zaidy terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong, Tampin, kira-kira pukul 3 pagi, 31 Julai lalu