PAKATAN HARAPAN (PH) Terengganu menyelar politik tidak matang yang diamalkan pihak tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Ia susulan insiden poster memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon KEADILAN bagi Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail disimbah cat merah.
Susulan itu,Pakatan Harapan menerusi setiausaha negerinya, Tengku Sahrudin Tengku Othman pada Rabu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap insiden tersebut.
Sementara itu, Azan yang dipertaruhkan PH-BN di kerusi tersebut menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk ancaman yang mengundangkan kebimbangan dalam kalangan petugas.
"Kita terima maklumat bahawa terdapat vandalisme yang keterlaluan ke atas bahan-bahan kempen kita terutama dalam bentuk menghina poster-poster yang memaparkan gambar perdana menteri.
"Perkara ini sudah berlaku beberapa hari, namun hari ini agak ketara kerana salah satu poster berkenaan menggunakan senjata tajam untuk menebuk muka perdana menteri," katanya ketika ditemui di IPD Kuala Terengganu di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai satu poster tular yang menyebut 'Kami mahu UMNO', beliau berkata, tindakan itu dilakukan hanya untuk melaga-lagakan parti dalam gabungan itu.
"Saya fikir perbuatan ini dilakukan pihak lawan, sebab itu kita kena buat laporan supaya perbuatan ini tidak terus menjadi ekstrim.
"Saya berpandangan tidak ada sebab budak-budak atau orang ramai yang tiada kaitan dalam politik melakukan benda ini," tambahnya.
0 Comments