Pertikaian kerusi DUN Hulu Bernam antara Amanah - Umno selesai


PERTIKAIAN
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam di Selangor antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan Umno telah diselesaikan.

Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, ia mencapai kata putus selepas dibawa kepada perundingan tertinggi kerajaan perpaduan.

“Setahu saya isu pembahagian kerusi di Selangor sudah diselesaikan, cuma ada permintaan satu dua kerusi keseluruhan daripada perundingan kita.

“Secara dasarnya semua rundingan berhubung pembahagian kerusi sudah dimuktamadkan, cuma beberapa kerusi masih belum diputuskan.

“Pembahagian kerusi ini akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada satu program di Alor Gajah semalam.
 
Adly sebelumnya diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Amanah Bahagian Hulu Selangor, Abdul Mun’im Roslin bahawa parti itu akan menggantikan Barisan Nasional (BN) bertanding di DUN Hulu Bernam yang kemudian disangkal Umno Bahagian Hulu Selangor.

Pucuk pimpinan telah buat keputusan
Sementara itu mengulas kedudukan parti itu pada PRN dibeberapa buah negeri tidak lama lagi Adly menjelaskan mereka akan kekal bertanding di beberapa kerusi dimenangi sebelum ini.

“Kerusi yang kita menang macam di Selangor dan Negeri Sembilan, kita ada tiga kerusi manakala empat kerusi di Kedah kekal dan akan digabungkan dengan kerusi baharu kita dapat keseluruhan,” ujarnya.