DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini


DEWAN UNDANGAN NEGERI (DUN) Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini.

Pembubaran itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka bakal diadakan dalam masa terdekat.

Pada 19 Jun lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menandatangani Proklamasi Pembubaran DUN Selangor ke-14 yang akan berkuatkuasa hari ini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan Pas masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, AMANAH-6), BN (5), Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (2) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

DUN dIbubarkan bagi beri laluan pilihan raya
Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya dari Pejuang tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Selangor mempunyai seramai 3,749,450 pengundi sekali gus jumlah pemilih tertinggi berbanding lima negeri yang juga akan melaksanakan PRN iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Post a Comment

0 Comments